Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta
para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari
kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab
umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan
Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah
Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.
Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan
Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah
S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua
fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki
binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis,
Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa
ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah
diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang
bermaksud;
"Maha Suci Allah, yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al
Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah
S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama
tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana
kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia
berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana
difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra
bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada
waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W
yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.
Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu
berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan
roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana
Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya
iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak
beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini
tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu
mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman
kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan
kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang
telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah
kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W
bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk
Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan
baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi
Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang
apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau
merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah
diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya".
Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar
dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang
membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan
Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam
perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali
diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj
diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak
meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah
S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci
dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan
membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada
Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan
"khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama
Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang
dinamakan "Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram
ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah
S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di
tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua
rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana
Rasulullah akan melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S.
menerima wahyu daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S.
dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah
S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti
berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai
hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula
seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah"
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W
diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak
Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap
untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh
beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu
dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud
(sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup
kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti
binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata
Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang
memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki
dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan
dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan
dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail:
Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang
lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan
bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah
dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat
fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka
dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging
manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari
lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail:
Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah
terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh
dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail:
Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam
akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan
dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata
Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia
yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun
daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua
rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa
Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu
lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus
Menemui Allah S.W.T );
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari
syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat
ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan
Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian
dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina
lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail
naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan
Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga.
Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit
keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit
kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani
Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit
keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah
mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda
sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit
ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah
yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada
Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa
dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka
berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu
LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S.
bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu
baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA
WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap
kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang
ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang
(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut
"al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang
tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun,
batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata
yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi
oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar
yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat
neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan
dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan
naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang
ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah
berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah
sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah
SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara
Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan
bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil
Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau
berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat
melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau
kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia,
syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia
dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku
perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku
buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri
keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah
Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu
ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah
'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar
makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu
lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa
menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh
Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan
jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima
waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula.
Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke
Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan
beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan
Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada
malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj
bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali
27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di
sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi
perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan
pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan
kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj
ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan
dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj
juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan
peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam
langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi
bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian
dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan
kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan
cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil
ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat
bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa
(kiblat pertama umat Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta
umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu
berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat
dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan
lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara
kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau
Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di
Palestin.
Friday, 7 June 2013
Posted in |
Dakwah
|
0 Comments »
One Responses to "Salam Isra' dan Mikraj"