"Kaedah pengajaran yang saya gunakan adalah betul... tapi hasil yang saya
harapkan masih tidak tercapai."
"Kalau
begitu, adakah teknik-teknik yang kau gunakan itu betul juga"
"Teknik-teknik
yang saya pakai tidak mungkin salah lagi"
"Oh ya!
Strategi pengajaran macam mana pula..."
"Apa itu
strategi..."
PENDAHULUAN
Bagi seseorang
yang baru menjejak kakinya dalam arena pengajaran malah ramai guru yang
berpengalaman, konsep pendekatan, strategi, kaedah serta teknik pengajaran amat
sukar dibeza-bezakan. Apa lagi terdapat orang yang menganggap bahawa semua
istilah tersebut adalah sama dengan cara pengajaran sahaja. Ini adalah suatu
perkara yang harus diberi perhatian yang serius kerana konsep-konsep tersebut
adalah merupakan asas untuk membentuk sesuatu rancangan pelajaran harian yang
sempurna oleh seseorang guru. Penjelasan tentang perhubungan di antara
keempat-empat konsep adalah amat berguna bagi guru-guru pelatih yang
menjalankan latihan mengajar supaya ilmu pedagogi yang dipelajari itu dapat
diamalkan dalam bilik darjah.
Rencana ringkas
ini bertujuan memberi sedikit sebanyak penjelasan tentang pendekatan, strategi,
kaedah serta teknik pengajaran serta hubungan di antara satu sama lain. Walau
pun difikirkan bahawa konsep-konsep itu merupakan asas dalam perbincangan
pedagogi tetapi kebanyakan pengarang buku pedagogi masih samar-samar tentang
konsep-konsep tersebut.
Untuk
menjelaskan konsep-konsep tersebut, perbincangan akan bermula dengan kaedah
pengajaran dan diikuti oleh teknik pengajaran. Selepas kita telah jelas
mengenai kedua-kedua konsep tersebut maka kita akan meneliti konsep strategi
serta pendekatan pengajaran. Akhir sekali kita akan mengulas perhubungan
kesemua konsep tersebut dalam situasi pengajaran.
KAEDAH DAN TEKNIK
Sebelum kita
membincangkan konsep kaedah pengajaran adalah eloknya kita memikirkan secara
umum pengertian kaedah. Kaedah mengikut Kamus Dewan bermaksud cara atau aturan
(membuat sesuatu), hukum atau prinsip. Justeru itu, sesuatu kaedah terdiri
daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai
sesuatu matlamat.
Lantaran itu,
jika kita ingin memasak ikan maka kita perlu fikirkan apakah kaedah-kaedah
memasak yang kita boleh gunakan. Sudah tentunya, kaedah-kaedah yang biasa kita
gunakan ialah seperti menggoreng, merebus, memanggang atau mengukus. Begitu
juga kalau kita diminta memberi kaedah-kaedah menyepak bola kita akan
menyatakan kaedah-kaedahnya adalah seperti sepakan sering, sepakan tinggi,
sepakan grounder, sepakan banana serta bermacam-macam lagi. Satu lagi contoh ialah jika kita ingin peri
memburu harimau di dalam hutan, kaedah-kaedah yang kita boleh gunakan adalah
seperti menembak dengan senapang, memanah, menjerat, menikam atau menombak.
Andaikan kita
ingin memasak ikan dengan kaedah menggoreng. Maka sudah tentu kita perlu
memiliki kemahiran-kemahiran yang khusus dalam menjayakan kaedah tersebut.
Kemahiran khusus tersebut adalah dimaksudkan sebagai teknik. Sebab itu,
bolehlah kita menyatakan bahawa semua kaedah mempunyai teknik-teknik tertentu
yang disusun dengan sistematik. Umpamanya untuk menggoreng ikan, kita mesti
memanaskan kuali terlebih dahulu sebelum mencurahkan minyak ke dalamnya. Untuk
mengelakkan ikan melekat pada kuali, suatu lagi teknik ialah memasukkan sedikit
garam ke dalam minyak yang telah panas di kuali. Api juga harus dikawal supaya
tidak terlalu panas. Kesemua tindakan yang spesifik ini adalah disebut sebagai
teknik menggoreng. Teknik-teknik untuk kaedah memasak ikan secara memanggang
pula adalah amat berbeza.
Untuk
menjelaskan lagi hubungan kaedah dengan teknik, kita boleh ambil contoh memburu
harimau. Kalau kita hendak memburu harimau dengan kaedah memanah maka
teknik-tekniknya adalah seperti meneliti arah angin, kemahiran memegang ibu
panah, gerakan tangan untuk membuat sasaran, kedudukan kaki serta tindakan
menarik nafas.
Dalam zama atom
ini, sudah tentu kaedah memburu harimau dengan kaedah memanah tidak begitu
berkesan. Jadi walau pun seorang pemanah itu betul-betul mahir dan telah
menguasai segala teknik memanah dengan seratus perstus, maka kemungkinan besar
ia dimakan oleh harimau. Itu sebabnya kaedah memburu yang dipilih adalah kurang
sesuai walaupun teknik-teknik kaedah itu adalah baik.
Oleh itu, untuk
menjayakan sesuatu yang kita ingini kaedah yang dipilih mestilah disertai
dengan teknik-teknik yang betul. Memilih kaedah yang tepat tanpa menguasai
teknik-teknik yang baik menurut kaedah tersebut tidak akan menjaminkan
tercapainya matlamat kaedah yang diingini.
KAEDAH DAN TEKNIK PENGAJARAN
Kaedah
pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang
mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala
aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tindkah laku yang agak kekal
dalam diri seseorang yang lain. Lantaran itu, kaedah-kaedah pengajaran adalah
seperti cercerita, perbincangan, bermain, latih tubi, main peranan,
menyelesaikan masalah, brain storming, perbahasan, kuiz, lakonan, projek,
soalan atau Socratik dan lain-lain lagi.
Teknik-teknik
pengajaran adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam
sesuatu kaedah. Jika seseorang guru itu tidak dapat menguasai teknik-teknik
yang ada apda sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan
tidak berhasil.
Misalnya
katakanlah seorang ingin menggunakan kaedah bercerita untuk mengajar sesuatu
tajuk pelajaran. Teknik-teknik bercerita yang dimaksudkan ialah kawalan nada
suara, penggunaan alatan yang berkenaan, kemahiran mengekalkan minat murid,
gerrakan tangan "facial expression", serta kedudukan murid-murid
semasa aktiviti bercerita itu berlangsung.
Kaedah mengajar
seperti syarahan juga mempunyai teknik-teknik yang tersendiri. Teknik-teknik
syarahan adalah seperti mempelbagaikan nada sera kadar percakapan, bahasa yang
sesuai, penggunaan OHP, garis kasar kuliah yang disampaikan, menyoal
soalan-soalan yang mencabar pemikiran pelajra dan lain-lain lagi.
Satu lagi
contoh kaedah mengajar ialah kaedah soalan. Jika kita ingin mengajar dengan
kaedah soalanmaka kita pelu menggunakan teknik-teknik menyoal yang baik seperti
soalan-soalan yang ditanya haruslah jelas dan tepat, pelajar-pelajar diberi
masa untuk memikirkan jawapan soalan sebelum sesiapa dipanggil untuk menjawab,
layanan yang munasabah bagi semua tindak balas daripada murid, suara haruslah
jelas, mempelbagaikan soalan-soalan yang ditanya dan sebagainya.
Jadi jika kita
hendak mengajar seseorang berenang kita haruslah memilih kaedah-kaedah yang
sesuai. Kaedah seperti perbincangan serta syarahan sudah tertentu tidak
berkesan. Kaedah pengajaran seperti demostrasi adalah lebih sesuai. Meskipun
demikian, untuk memastikan bahawa demostrasi itu berjaya kita mesti menguasai
teknik-teknik demostrasi.
Sebagai
kesimpulan, bila kita sebut teknik pengajarankita mesti bertanya teknik
pengajaran untuk kaedah apa. Setiap kaedah pengajaran mesti mempunyai
teknik-teknik yang tertentu.
PENDEKATAN
Pendekatan
biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu
sasaran. Dalam pengertianyang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi
"to come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk
melakukan sesuatu. Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan
teori-teori atau generalisasi yang tertentu.
Sebagai contoh,
pendekatan-pendekatan memasak ikan yang kita boleh gunakan ialah seperti
pendekatan Timur atau pendekatan Barat. Bagi pendekatan Barat, kita dapati
keutamaan ditegaskan pada nilai kalori, nilai makanan dari segi zat makanan dan
ciri-ciri makanan seimbang. Bagi pendekatan Timur pula, keutamaan adalah diberi
kepada rasa seperti rupa makanan tetapi tidak begitu mementingkan nilai kalori
atau ciri-ciri makanan seimbangan. Pendekatan Barat ini adalah amat berkaitan
dengan perkembangan sains dan teknologi pemakanan yang mempunyai prinsip-prinsip
makanan serta hubungannya dengan kesihatan.
Suatu lagi
contoh tentang pendekatan melakukan sesuatu ialah pendekatan seseorang dalam
belajar bermain tenis. Dia boleh menggunakan pendekatan profesional atau
pendekatan konvensyenal (tradisional atau acquired) atau biasa. Bagi pendekatan
profesional, semua kaedah bermain dipelajari berdasarkan prinsip-prinsip sains
yang sangat bersistematik. Manakala bagi pendekatan konvensyenal, kaedah-kaedah
bermain dipelajari berdasarkan pengalaman, perbincangan informal serta dengan
pemerhatian.
PENDEKATAN PENGAJARAN
Pendekatan
pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau
memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, sesuatu mata pelajaran atau
beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan wujud
berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi
perhatian yang lebih utama. Sebab itu ada kalanya pendekatan meyerupai
klasifikasi pengajaran di mana jenis-jenis pendekatan wujud berdasarkan kriteria-kriteria
yang kita gunakan untuk meneliti proses pengajaran. Pendekatan-pendekatan
pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan murid, cara-cra fakta
disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan
pengajaran mata pelajaran lain.
Pendekatan
pengajaran yang berasaskan pengelolaan murid adalah seperti pendekatan
individu, pendekatan pasangan, pendekatan kumpulan, pendekatan kelas,
pendekatan kelas bercantum dan sebagainya. Pendekatan yang dimaksudkan di sini
tidak menyentuh tentang kaedah yang boleh digunakan dalam pengajaran. Guru
adalah bebas memilih kaedah yang difikirkan wajar bagi setiap pendekatan
tersebut.
Berdasarkan
kriteria bagaimana isi pelajaran disampaikan maka terdapatlah pendekatan
induktif, pendekatan deduktif, pendekatan eklektik, pendekatan dari segi isi
mudah ke isi susah dan pendekatan dari isi maujud ke isi abstrak.
Pendekatn yang
memberi tumpuan kepada pengajar disebut sebagai pendekatan memusatkan guru
manakala pengajran yang mementingkan murid disebut sebagai pendekatan
memusatkan murid. Kaedah-kaedah yang seiring dengan pendekatan yang memusatkan
guru adalah seperti kaedah syarahan dan kaedah demonstrasi manakala
kaedah-kaedah pengajaran yang selari dengan pendekatan pengajaran yang
memusatkan murid adalah seperti kaedah menyelesaikan masalah, kaedah bermain
dan kaedah perbincangan kumpulan.
Terdapat juga
pendekatan-pendekatan yang digunakan untuk mengajar beberapa mata pelajaran
mengikut tema-tema pelajaran. Contohnya pengajaran dalam Alam dan Manusia menggunakan
perdekatan interdisiplin atau pendekatan bersepadu. Ini adalah kerana beberapa
mata pelajaran seperti Sejarah, Geografi dan Kesihatan digabungkan menjadi
suatu mata pelajaran yang baru. Pendekatan ini adalah sama dengan pengajaran
Sains Panduan di mana Biologi, Fizik serta Kimia digabungkan dan diajar
mengikut tema-tema tertentu.
Akhirnya dalam
pengajaran bahasa terdapat pendekatan-pendekatan seperti pendekatan komunikasi,
pendekatan situasi, pendekatan psiko-linguistik, pendekatan terjemahan dan pendekatan
nahu. Pendekatan-pendekatan ini timbul berasaskan teori-teori pembelajaran yang
berbentuk mentalis atau behavouris. Contohnya jika kita mengikut teori mentalis
atau kognitif maka pendekatan yang digunakan adlah seperti pendekatan
terjemahan dan pendekatan nahu. Bagi teori behavouris atau S-R maka pendekatan
pengajaran yang digunakan adalah pendekatan komunikasi dan situasi.
Rumusan yang
boleh dibuat ialah pendekatan merupakan sesuatu yang agak umum dan ia
seolah-olahnya menunjukkan sesuatu haluan tetapi tidak menerangkan bagaimana
caranya untuk menuju haluan itu. Cara-cara yang digunakan untuk menuju arah
yang ditetapkan oleh sesuatu pendekatan pengajaran adalah kaedah-kaedah
pengajaran.
STRATEGI
Strategi boleh
diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk
mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan
secara optimum. Seseorang panglima tentera harus memikirkan strateginya untuk
mempertahankan kedudukannya atau menyerang kubu musuhnya.
Sebagai contoh,
katakanlah perang tercetus di antara Malaysia dan Singapura. Seorang panglima
Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk menyerang dan menawan Singapura
terpaksa merancang strategi peperangannya. Dia harus memikirkan apakah
pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk menyerang pihak musuh. Adakah
kita menggunakan tentera udara atau tentera laut? Adakah kita mengebom sasaran-sasaran
pertahanannya terlebih dahulu sebelu menghantar angkatan tentera darat diikuti
oleh angkatan tentera laut. Susunan serta urutan kaedah yang dirancangkan
mengikut kekangan logistik adalah disebut sebagai strategi peperangan.
Andaikan kita
menggunakan contoh memasak ikan semula. Kalau kita ingin memasak seekor ikan
yang agak besar (5 kilogram) kita perlu merancangkan strategi memasak supaya
kita dapat kepuasan dan faedah yang paling banyak dengan menggunakan masa,
tenaga erta sember yang paling minimum. Di sini kita perlu merancangkan
pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk memasak ikan
tersebut. Umpamanya adalah kita menggoreng kepalanya, merebus ekornya,
memanggang tulang diikuti dengan mendidihnya dalam sup, menjerut telurnya dan
sebagainya. Kaedah manakah yang kita buat terlebih dahulu? Pendekatan timur
atau barat yang patut diikuti untuk memasak? Rancangan yang lengkap ini boleh
disebut sebagai strategi memasak.
Bagaimana
dengan strategi memburu harimau pula? Kita telah membincangkan kaedah-kaedah
yang boleh digunakan untuk memburu harimau. Jadi bagaimanakah rancangan kita
untuk menggabungkan kaedah-kaedah tersebut seupaya harimau itu dapat diburu
dengan mudah. Adakah kita memagar kawasan yang didiami oleh harimau dan menahan
jerat pada kawasan-kawasan tertentu. Apabila harimau telah terjerat, barulah
kita menembaknya. Atau perlukah kita menghadkan makanan harimau untuk melapar
dan meletihkannya kemudian membunuhnya dengan lebing.
Untuk memenangi
sesuatu pertanding badminton, seseorang pemain bukan sahaja perlu menguasai
segala kaedah untuk menghantar bola tangkis kepada lawannya tetapi a juga perlu
merancangkan strategi permainan itu. Strategi permainan adalah seperti bermain
secara defence pada pemainan pertama untuk meletihkan musuh dan kemudiannya
menyerang dengan secara smash yang kencang pada pemainan kedua. Adakah dia
sengaja bermain sebanyak 3 atau 2 pemainan sahaja. Jika pemain itu menguasai
semua kaedah menghantar bole tangkis dengan sempurna tetapi strategi permainannya
tidak sesuai mana ia akan ditawan. Oleh sebab itu, ada kalanya pasukan yang
mahir dalam semua kaedah permainan dikalahkan sebab strategi permainan tidak
sesuai.
STRATEGI PENGAJARAN
Untuk mencapai
objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya menggunakan gabungan
berapa pendekatan serta kaedah mengajar tertentu. Rancangan gabungan pendekatan
dan kaedah serta turutan pendekatan dan kaedah itu dilaksanakan merupakan
strategi pengajaran.
Sebagai contoh,
untuk mengajar sebuah kelas berenang, strategi pengajaran harus
mempertimbangkan pendekatan yang digunakan serta kaedah-kaedah yang perlu
digunakan. Adakah kita gunakan pendekatan individu atau pendekatan kumpulan
kecil? Bila kita menerangkan cara-cara berenang kepada pelajar patutkah kita
gunakan pendekatan induktif atau pendekatan deduktif? Di samping itu, apakah
kaedah pengajaran yang boleh kita gunakan. Antara kaedah syarahan, kaedah
demostrasi dan kaedah latih tubi yang manakah kita gunakan terlebih dahulu?
Bagaimanakah kombinasinya? Ringkasnya rancangan yang lengkap yang mengandungi
pendekatan dan kaedah adalah strategi mengajar yang dimaksudkan.
Peranan
strategi pengajaran adalah lebih penting lagi jika kita mengajar
pelajar-pelajar yang berbeza dari segi kebolehan, pencapaian, kecenderungan
serta minat yang berbeza-beza. Kita perlu rancangkan pendekatan dan kaedah yang
digunakan untuk mengajar kumpulan-kumpulan yang berbeza-beza itu. Contohnya,
dalam bilik darjah KBSR yang biasanya terdiri daripada kumpulan lemah, kumpulan
serdahana serta kumpulang cergas. Guru terpaksa memikirkan strategi pengajaran
yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua
kumpulan. Di samping itu, setiap bilik darjah mempunyai halangan serta
rintangan-rintangan yang tersendiri seperti keadaan fizikal, kemudahan bilik
darjah, nilai, norma serta latar belakang sekolah dan murid. Lantaran itu,
seseorang guru bukan sahaja mesti menguasi berbagai-bagai kaedah mengajar
tetapi yang lebih penting lagi ialah bagaimana mengintegrasikan serta menyusun
kaedah-kaedah itu untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan
dalam pengajarannya.
Kita biasanya
mendengar pendapat bahawa tiada terdapat mana-mana kaedah yang paling baik
sekali. Ini amat benar kerana kaedah-kaedah mengajar mestilah diatur untuk
membentuk strategi pengajaran mengikut keadaan di mana proses pengajaran itu
berlaku. Jelasnya sesuatu kaedah pengajaran tidak menjaminkan pencapaian
matlamat pengaajaran. Yang lebih penting adalah interaksi kaedah itu dengan
kaedah-kaedah lain.
KESIMPULAN
Kesimpulan yang
boleh dibuat setakat ini ialah sesuatu strategi pengajaran menggabungkan
pelbagai kaedah dan pendekatan pengajaran untuk mencapai kesan pengajaran yang
optimum sekali. Strategi yang baik akan menggunakan masa, tenaga serta kos yang
paling sedikit tetapi menghasilkan kesan pengajaran pembelajaran yang paling
maksimum
Sumber: http://www.teachersrock.net
Wednesday, 23 January 2013
Posted in |
Pendidikan
|
0 Comments »
One Responses to "Apa itu Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik?"